JANGAN LENTURKAN SEMANGAT, "KUNAFE"? KERANA.....
“Amboi sedapnya!!” “lazatnya menawan, manisnya potong kaki..!!” begitulah maklum balas dari teman-teman yang berjaya merangkul “hadiah” pencuci mulut yang sedang dikejari ramai lewat kebelakangan ini, Orang ramai sanggup beratur berjam-jam, menunggu hanya untuk merasainya. Ada yang mungkin bangun awal atau mengatur semula jadual harian hanya untuk menjadi orang pertama dalam barisan. Kita semua mungkin pernah melalui pengalaman merebut tempat, teruja untuk berada di hadapan barisan untuk sesuatu yang ditawarkan,pengalaman sedemikian bakal menjadi kenangan yang manis dan sukar untuk dilupakan. Perasaan menanti dengan penuh harapan, dan kepuasan akhirnya mendapatkan apa yang telah kita tunggu-tunggu, membuatkan penantian itu terasa berbaloi.
Sekarang, mari kita renungkan bagaimana semangat yang sama boleh diterapkan kepada sesuatu yang jauh lebih “manis” iaitu solat kita. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Jika manusia mengetahui ganjaran melaungkan azan dan berada di saf pertama dalam solat, dan tidak menemui cara lain untuk mendapatkannya melainkan dengan mengundi, mereka pasti akan melakukannya. Dan jika mereka mengetahui ganjaran solat Zuhur di awal waktunya, mereka pasti akan berlumba-lumba untuk melaksanakannya. Dan jika mereka mengetahui ganjaran solat Isyak dan Subuh berjemaah, mereka pasti akan datang untuk menunaikannya walaupun terpaksa merangkak.” (Muttafaqun Alayhi)

Hadith ini adalah peringatan lembut tetapi mendalam bahawa tenaga yang sama yang kita usahakan untuk menjadi yang pertama dalam nikmat duniawi—sama ada makanan, atau jualan—boleh diusahakan kepada ibadah kita dan solat kita. Sama seperti kita bersemangat untuk bangun awal bagi mendapatkan tempat di barisan hadapan untuk sesuatu yang baru, kita boleh berusaha untuk berada di saf pertama di masjid atau menjadi yang pertama menyahut seruan azan.
Kenapa semangat mengejar solat ini penting ya? Selain daripada ganjaran segera seperti kepuasan rohani dan hubungan dengan Allah, mendapat saff yang pertama dalam solat menawarkan manfaat jangka panjang yang sangat hebat. Kajian menunjukkan bahawa amalan solat yang konsisten dan ibadah rohani boleh meningkatkan kesihatan mental, mengurangkan tahap tekanan, dan memperkukuh rasa kebersamaan dalam komuniti. Solat bukan sekadar ritual; ia adalah sumber ketenangan dan kestabilan dalam hidup kita.
Jadi, bagaimana kita boleh membawa semangat yang sama ke dalam solat kita? Berikut adalah beberapa langkah praktikal:
1. Pasangkan Niat: Sama seperti kita merancang untuk menghadiri majlis atau mencuba hidangan baru, jadikan ia satu kebiasaan untuk merancang solat kita. Tetapkan niat untuk tiba awal di masjid atau adakan ruang yang tenang di rumah di mana kita boleh fokus tatkala melakukan ibadah.
2. Kembangkan: Pertimbangkan berapa banyak masa dan tenaga yang telah kita keluarkan untuk mencapai kemahuan kita, kemudian tanya diri sendiri berapa banyak tenaga itu yang boleh kita kembangkan semangat yang sama kepada solat kita. Anggap solat kita sebagai keutamaan, bukan sekadar tugas yang perlu diselesaikan.
3. Ingat Ganjaran: Pesanan Nabi menekankan ganjaran besar mengejar awal waktu solat dan merangkul saf pertama dalam jemaah. Ingatkan dirikita bahawa ganjaran solat adalah jauh lebih besar daripada sebarang kesenangan sementara.
4. Kemuliaan berjemaah: Sama seperti beratur untuk produk baru boleh mencetus rasa keseronokan, bersuai kenal, bersembang sewaktu menanti giliran, makanya solat berjemaah menguatkan ikatan dalam masyarakt. Jadikan ia satu titik untuk menggalakkan orang lain turut serta, mewujudkan semangat kolektif untuk solat.
Dalam mengejar keseronokan dunia dari sudut jamuan, hiburan dan seumpama dengannya, kadangkala kita rasa ianya agak sukar untuk dikecapi jika tiada sumber kewangan yang cukup untuk bersuka ria, mari kita ingat bahawa matlamat utama untuk kesenangan dunia adalah ketenangan dan keamanan dan yang terbesar adalah datang dari sesuatu yang tidak disangka malah jauh lebih mudah: hubungan kita dengan Allah melalui solat. Kegembiraan yang sama yang kita rasai untuk perkara duniawi boleh—dan seharusnya—dikembangkan kepada sesuatu yang abadi.
Jadi apabila kita membuat langkah tersebut maka bertanyalah….
– “kunafe” orang berebut hendak menjadi yang pertama? kerana hendak pertama dapat merasai kesedapannya…
– “kunafe” org berlumba nak dapatkannya? kerana kalau tidak habislah kesudahannya…
– “kunafe” org sanggup beratur dan bermalam? kerana melepas lah kalau tak cekal menantikannya…
Lantaran itu jangan lenturkan semangat yang sama… “kunafe”? kerana : ganjaran tertinggi adalah dengan Allah, dan ia jauh lebih bernilai daripada apa sahaja yang kita boleh tunggu dalam barisan.