Hubungan Sejarah Antara Masyarakat dan Ulama dalam Era Moden
Dalam sejarah ketamadunan Melayu dan Islam, banyak fakta membuktikan bahawa peranan ulama kepada masyarakat amat besar. Hal ini dapat dirujuk daripada manuskrip peninggalan mereka, yang merangkumi bukan sahaja ilmu keagamaan dan rohani, tetapi juga bidang-bidang lain seperti:
- Ulama Melayu dalam bidang matematik: Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Al-Minangkabawi, yang menulis kitab berbahasa Melayu Alam al-Hussab Fi Ilmi Al-Hisab.
- Ulama Melayu dalam bidang perubatan: Sheikh Abbas Kuta Karang, yang menulis kitab berbahasa Melayu Aceh Al-Rahmah Fi al-Tibb wa al-Hikmah.
Selain itu, terdapat catatan sejarah mengenai ulama yang mahir dalam bidang lain seperti:
- Ulama Melayu dalam bidang sains: Qadi Munawwar (abad ke-15, Melaka).
- Ulama Melayu dalam seni bela diri: Sheikh Abdul Samad Al-Falembangi (1828, Patani).
Semua ini dan banyak lagi telah saya kongsikan bersama jemaah dalam kuliah “Sejarah Islam & Ketamadunan Melayu” baru-baru ini.
Keakraban antara ulama dan masyarakat telah menjana masyarakat Islam yang berkualiti, bertamadun, dan bertakwa. Ini dapat dilihat daripada peninggalan zaman kegemilangan antara abad ke-14 dan ke-15, di mana para ulama berganding bahu menyebarkan ajaran Islam yang sahih sambil mengikis amalan yang jauh dari landasan akidah secara berperingkat.
Dalam abad moden ini, kita dapat lihat kepentingan meneruskan keakraban bersama para ulama masa kini amatlah diperlukan. Kebebasan di alam maya telah membuka pintu penyebaran maklumat palsu atau yang telah dicemari dengan bertopengkan Islam. Kelopongan ini telah dimanfaatkan oleh pihak pengganas untuk menyebarkan dakyah mereka, khususnya kepada pemuda yang bersemangat.
Baru-baru ini, seorang remaja telah ditahan kerana merancang untuk melakukan serangan pengganasan setelah terpengaruh dengan agenda pengganas. Sedangkan, para ulama sejak dahulu lagi, seperti contoh Sheikh Abdul Samad Al-Falembangi, mengajar murid-muridnya semasa peperangan dengan Siam bahawa wanita, kanak-kanak, ahli agama, dan orang tua tidak boleh dibunuh, selaras dengan hadith Rasulullah ﷺ. Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ melarang pembunuhan kaum wanita dan anak-anak dalam peperangan (HR Bukhari No. 3015 dan Muslim No. 1744).
Syukur Alhamdulillah, para ulama dan asatizah Singapura, baik yang berpengalaman mahupun yang muda, merupakan lepasan institusi pendidikan yang diiktiraf. Mereka berperanan sebagai perisai keilmuan agar maklumat yang sahih dapat dipertahankan dan yang batil dapat disingkirkan jauh.
Air Dicincang Tak Akan Putus
Kini adalah masanya untuk mempereratkan lagi hubungan dengan ilmuwan Islam. Dalam era moden, kadangkala penuntut ilmu lebih selesa melayari laman web atau menonton video pendek untuk menimba ilmu. Oleh itu, beberapa asatizah kita kini selain menyampaikan dakwah secara fizikal di masjid, juga telah mengambil langkah menyebarkan ilmu secara digital. Antara contoh yang boleh kita akses adalah:
- Syukran.com: Ustaz Shahib Amin & Ustaz Hidayat Ismail
- Haniff.sg: Ustaz Dr. Muhammad Haniff Bin Hassan
Kandungan yang disampaikan sesuai untuk semua peringkat umur, dengan tajuk yang ringan seperti “Raja Bomoh” sehingga kepada isu-isu yang lebih rumit seperti definisi jihad. Beberapa asatizah juga mengadakan podcast di Spotify melalui masjid masing-masing, seperti:
Kesimpulan
Mari kita bersama-sama menyokong dan mengembangkan platform-platform ini kepada anak-anak kita sebagai alternatif dalam usaha mencari jalan yang lurus menuju keredhaan Ilahi. Sejarah telah membuktikan bahawa apabila hubungan antara masyarakat dan ulama diteguhkan, maka lahirlah kemantapan rohani, kemajuan ilmu, dan ketamadunan yang hebat. Sebaliknya, sejarah juga menunjukkan kesan yang negatif apabila hubungan ini terabai.