Takwa,sabar kunci kejayaan.
November telah pun berlalu, dan kini anak, cucu atau ada dalam kalangan anggota keluarga baru sahaja selesai menghadapi cabaran peperiksaan akhir tahun – sama ada peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘0 ‘, peringkat ‘A’, atau peperiksaan lain.
Saat begini,terkenang kembali sewaktu di bangku sekolah, satu memori yang tidak dapat dilupakan : Saya dan beberapa teman berkesempatan menumpang kenderaan milik Ust Maarof Mohd guru pengajian Islam bersama Ustaz Afandi Ahmad merupakan guru Al-Quran saya sepanjang berada di bangku sekolah Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Dalam perjalanan tersebut kami mendapat mutiara nasihat yang sangat berharga iaitu satu Doa yang dikongsikan kepada kami oleh Ustaz Afandi :
“Ya Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasilah aku dengan kesabaran / kerendahan & kelembutan hati, muliakanlah aku dengan ketakwaan, dan indahkanlah aku dengan kesejahteraan.”
Kedua-dua Ustaz memberikan nasihat masing-masing dari petikan Doa tersebut, Alhamdulillah saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi nilai-nilai yang merangkumi pelbagai aspek yang terkandung dalam Doa ini, ia dapat membantu kita dan anak-anak kita menghadapi kehidupan dengan kebijaksanaan, kesabaran, ketakwaan, kesejahteraan, kemuliaan dan kerendahan hati. Semoga ia menjadi panduan bukan sahaja dalam peperiksaan, tetapi sepanjang perjalanan hidup mereka.

1. Kekayaan Melalui Ilmu
Doa ini pertama sekali meminta agar diberi kekayaan ilmu. Harapan kita adalah agar anak-anak kita bukan sahaja berjaya dalam pelajaran mereka tetapi juga mencintai ilmu yang mendalam, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan malah mengembangkan rasa ingin tahu serta pemahaman yang lebih mendalam dan bermakna. Ilmu yang sebenar memperkayakan peribadi dan jatidiri masing-masing. Firman Allah “Hai orang-orang yang beriman, bila diminta kepadamu untuk melapangkan majlis (memberi ruang dalam suatu majlis ilmu), maka lapangkanlah, Allah pasti akan memberimu kelapangan (juga). Dan bila kamu diminta bangkit (dari tempat dudukmu), maka bangkitlah. Allah pasti akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan berilmu diantara kamu beberapa tingkat lebih tinggi” [al-Mujadilah:11].
2. Menghiasi Diri dengan Kesabaran
Kesabaran sangat penting untuk kejayaan dan ketenangan jiwa. Doa ini menggambarkan kesabaran sebagai hiasan, yang mencerminkan keindahannya dan ketenangannya. Dalam menghadapi cabaran, sama ada dalam peperiksaan atau cabaran hidup yang lain, kesabaran membolehkan anak-anak kita berusaha dengan tenang dan penuh keyakinan. Kesabaran ini akan membantu mereka mengharungi liku-liku kehidupan dengan kekuatan dan ketabahan. Bertepatan dengan Firman Allah “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”. [al-Zumar:10]
3. Kerendahan & kelembutan Hati dalam Kejayaan dan Kegagalan
Walau apa pun keputusan akhir peperiksaan nanti, kita menggalakkan anak-anak kita untuk mengamalkan kerendahan hati. Kejayaan adalah sesuatu yang wajar diraikan, tetapi kerendahan hati mengingatkan kita kepada kebergantungan kita kepada rahmat Allah. Begitu juga, kegagalan adalah pengalaman berharga yang memberi pelajaran. Kerendahan hati, sama ada dalam kejayaan atau kesukaran, menzahirkan keperibadian individu yang sebenar di hadapan orang lain dan di sisi Allah. Hati yang lembut juga boleh diumpamakan sebagai air yang sentiasa membasahi api keegoan dan berlaku rahmah kepada sesama insan kerana sifat ini membentuk ciri seorang yang tawaduk dan membentuk mereka sebagai insan yang bermaruah sepanjang hidup.
4. Kemuliaan Ketakwaan
Kemuliaan sejati bukanlah hanya pada pencapaian duniawi, tetapi melalui kehidupan yang mempunyai kejujuran, kebaikan, dan keikhlasan. Doa ini mengingatkan kita bahawa kemuliaan yang sebenar datang melalui ketakwaan beramal dengan keinsafan kepada Allah dan mengekalkan nilai yang benar. Walaupun mencapai “menara gading” itu penting, menjalani kehidupan yang bertakwa adalah kemuliaan yang kekal. Semoga anak-anak kita menemukan kebahagiaan dalam kehidupan dengan akhlak mulia.
5. Keindahan Kesejahteraan
Akhir sekali, doa ini memohon kesejahteraan, yang mengingatkan kita akan nikmat kesihatan dan keseimbangan dalam hidup. Kesihatan membolehkan anak-anak kita mengejar cita-cita mereka dan menguruskan tekanan kehidupan, baik sekarang mahupun di masa hadapan. Menggalakkan mereka untuk menjaga kesejahteraan mental, fizikal, dan rohani adalah penting, kerana pendekatan syumul ini membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan yang berkekalan. Sebagai contoh antara sukan yang dianjurkan oleh Baginda Rasul melalui beberapa Hadith beliau adalah sukan memanah “Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda)”. [Riwayat al-Tirmizi], banyak kajian membuktikan memanah dapat membantu fokus, meyokong ketenangan mental dan menguatkan fizikal pemanah.
Panduan Sepanjang Hayat
Tak cukup rasanya untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembimbing saya dari kedua Ibu Bapa hingga kepada para Guru dan Asatizah, nasihat mereka serta doa yang ditujukan kepada saya ada keberkatanya, maka saya mengambil kesempatan ini untuk melebarkan lagi pesanan yang diterima kepada pembaca dimana ketika anak-anak kita menyelesaikan peperiksaan mereka, kita meraikan kejayaan mereka dan menawarkan doa ini sebagai panduan sepanjang hayat. Kehidupan akan mempertemukan mereka dengan pelbagai ujian, di luar bangku sekolah, dan kita berharap mereka menghadapi setiap cabaran dengan kebijaksanaan, kesabaran, kerendahan hati, ketakwaan, dan kesejahteraan. Kejayaan dan kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan mereka, tetapi sifat kelembutan hati, keikhlasan, dan kejujuran akan menjadi satu penentu keperibadian mulia di hadapan manusia dan Allah.
Ayuh kita bersama aminkan doa ini :
Ya Allah berkatilah anak dan keluarga kita dengan ilmu yang sebenar,hiasilah mereka dengan kesabaran, muliakan mereka dengan ketakwaan, indahkan mereka dengan kesejahteraan, dan berikan mereka kelembutan dan kerendahan hati untuk membawa diri mereka dengan penuh jati diri yang mulia di hadapan manusia dan Allah sepanjang kehidupan mereka. Semoga perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan pertumbuhan, keseimbangan, dan kebahagiaan yang berpanjangan. Amin