Tanggungjawab setiap Muslim pelihara alam sekitar

Tanggungjawab setiap Muslim pelihara alam sekitar

Tanggungjawab setiap Muslim pelihara alam sekitar

Tiba-tiba hujan mencurah turun dengan lebatnya sewaktu dalam perjalanan menuju ke Marina Bay Sands untuk menyertai International Conference on Communities of Success (ICCOS 2024) pada pagi October 14 baru-baru ini. Kejadian hujan lebat yang dilaporkan sebagai “antara tertinggi sejak 1978” di barat Singapura, taufan yang melanda di florida, cuaca ribut antara Filipina, Vietnam dan Thailand yang bakal melanda lebih lagi dalam bulan November menurut beberapa laporan akhbar, memberikan kesedaran yang lebih utuh bahawa Islam telah lama menjadi pelopor kepada menjaga dan menyantuni alam sekitar kerana Al-Quran dan juga Sunnah telah membimbing kita menjadi “Khalifah” di muka bumi.

Firman Allah dalam Surah Al-An’am (6:141), “Dan Dia lah yang menghasilkan kebun-kebun yang berduri dan yang tidak berduri, serta pohon-pohon kurma, dan tanaman-tanaman yang beraneka bentuk dan rasa (buah-buahan dan bunga-bunga)…” Ayat ini menggambarkan dengan indah bahawa bumi adalah anugerah daripada Allah, dipenuhi dengan sumber yang mesti kita hargai dan lindungi.

Ia bukan sahaja tempat untuk kita tinggal tetapi juga amanah ilahi yang diamanahkan kepada kita.

Selain itu, Nabi Muhammad (saw) menekankan pentingnya menjaga alam sekitar dalam banyak hadith beliau. Baginda bersabda, “Bumi ini hijau dan indah, dan Allah telah melantik kamu sebagai penjaganya.”; Ini mengingatkan kita bahawa kita bertanggungjawab bukan sahaja untuk kesejahteraan kita tetapi juga untuk kesejahteraan bumi ini dan semua makhluk yang ada di dalamnya.

Semasa perbincangan panel di ICCOS, Saya sangat terkesan dengan pandangan yang dikongsi oleh Dr. Md Saidul Islam, seorang profesor dan Penyelaras Pasca siswazah dalam Sosiologi di Universiti Teknologi Nanyang. Beliau dengan jelas menekankan kepentingan alam sekitar dari perspektif Islam, menegaskan perlunya kita menjadi peserta aktif dalam usaha pemeliharaan. Penekanan beliau terhadap pengelakan pembaziran makanan sangat menyentuh hati saya, kerana pembaziran bertentangan dengan prinsip asas Islam mengenai kesederhanaan.

Sebagai umat Islam, kita diingatkan dalam Al-Quran bahawa pembaziran dikaitkan dengan tindakan syaitan. Dalam Surah Al-Isra (17:27), dinyatakan, “Sesungguhnya, orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu sentiasa tidak bersyukur kepada Tuhannya.” Ayat ini menekankan betapa seriusnya pembaziran dan mendorong kita untuk merenungkan tindakan kita.

Apabila kita membazirkan makanan, kita bukan sahaja mengabaikan sumber-sumber berharga yang diberikan oleh Allah, tetapi juga mengabaikan tanggungjawab kita untuk menyokong mereka yang memerlukan. Daripada membazirkan apa yang kita miliki, ada baiknya kita merancang dengan betul agar kelebihan nikmat yang dimiliki dapat dikongsi sama kepada orang yang memerlukan seperti bersedekah makanan kepada Jemaah majlis-majlis di masjid atau di tempat lain, kepada faqir miskin dan lain-lain lagi.

Hujan lebat dan banjir kilat adalah peringatan yang jelas dari Allah tentang akibat daripada pengabaian amanah dalam menjaga alam sekitar. Adalah tanggungjawab kita sebagai “Khalifah” bumi untuk menjadi yang terbaik dalam segalanya, kita adalah Muslim maka kita adalah Muslim yang terbaik yang memudahkan urusan semua makhluk di bumi ini.

Kita yang hidup sebagai individu dan juga sebagai sebuah masyarakat, terdapat beberapa tindakan yang boleh kita ambil untuk menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar antaranya:

 

1. Jimat Air: Berhati-hati dengan penggunaan air, terutamanya semasa berwudhu. Gunakan hanya yang diperlukan, alhamdulillah beberapa masjid telah memasang alat penjimatan air namun kuasa penjimatan itu di tangan anda.

 

2. Tanam Pokok: Sertai aktiviti penanaman pokok di kawasan perumahan atau Seperti contoh di masjid Ahmad Ibrahim (kami mengalu-alukan sukarelawan yang berminat untuk bersama bercucuk tanam di Masjid kami). Pokok sangat penting untuk ekosistem kita kerana ia menyediakan oksigen, mengurangkan pencemaran, dan memperbaiki kualiti udara.

 

3. Bergotong Royong: Sertai program gotong royong membersihkan secara berkala di ruang awam atau sekitar masjid. Ini bukan sahaja memperindah persekitaran tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab Jemaah bersama.

Pelajaran dari perjalanan saya ke ICCOS dan perbincangan yang diadakan di sana telah memperbaharui komitmen saya terhadap penjagaan alam sekitar. Marilah kita berusaha untuk melaksanakan prinsip Islam dengan memelihara sumber, mengurangkan pembaziran.

Bersama-sama, kita boleh melaksanakan amanah kita dan melindungi dunia yang indah yang Allah amanahkan kepada kita. Dengan melakukan demikian, kita memenuhi peranan kita sebagai Muslim yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada kesejahteraan bumi dan semua penghuninya.

Dengan berusaha menjaga alam dunia tak secara langsung pahala tersebut membantu mempersiapkan “alam akhirat” yang terbaik hendaknya amin.

Masjid Ahmad Ibrahim